My photo
Rawang, Malaysia
“Travel helps reset your current path for a bit, reminds you that life is bigger than what you've been seeing everyday, and makes your problems small compared to it."

Tuesday, October 11, 2011

Million of thanks.


Dearest,
Friends and Families
Foes and Enemies
Comrades and Colleagues 
Teachers and Lecturers
Those Who Stay and Those Who Walk Away,

Million of thanks,

For
the Walks we had
the Laughs we burst
the Tears we shed
the Secrets we kept
the Friendship we had
the Bittersweet Memories we created
the Time we spent

the Promises made and/or broken

the Ears you lend
the Back you stabbed
the Smile you cracked

Everything we gave and everything we took
every Lessons we learned; be it bad or good,


It's true when He gave you what you need, instead of what you want,
Cause it took each and everyone of you to bring me to the now,
To Allah I thanks and to Him I pray,
Nothing but the best for you in 'Here' and 'There'.




This journey has been great so far. And I know great things will keep coming biiznillah. Insya Allah. :D

Thursday, September 8, 2011

tudung: tiga segi atau bulat?


Raya kedua.

Lepas beraya sakan kat Rawang, kitorang bergerak balik kampung Taiping pulak. Macam biasa, ada family yang masih kat rumah opah, ada yang dah balik ke kampung dorang yang lain. Opah dan Tok Wan, alhamdulillah masih lagi sihat. Cuma kadang-kadang, sakit-sakit orang tua menjengah juga.

Paling best bila salam dengan Wan Nora, dia tegur, "Eh, kenapa nampak lain? Macam dah gemuk sikit.." Erk...baru raya kedua dah mendadak naiknya?? Okay, kena start puasa enam secepat mungkin!haha~

Dalam ramai-ramai tu, kelibat sorang sepupu buat aku terpaku untuk beberapa saat. Nampak lain je kan. Hurm...Ouh, D (of course, bukan nama sebenar) dah pakai tudung bulat!..

Kalau tak salah, D lebih muda 4 tahun daripada aku. Keluarga dia baik-baik. Dorang pernah duduk beberapa tahun di UK waktu ayahnya sambung belajar. Sekolah menengahnya, bukan sekolah agama. Bukan juga universiti Islam mahupun mengambil pengajian berkaitan Islam. Tapi ya, dia memakai tudung labuh sekarang.


Refleks semula diri sendiri. Dari tadika sampai ke universiti, semua sekolah aku sekolah 'Islam'. 5 tahun  pakai tudung labuh walau hanya di asrama. Siap boleh gunting dan jahit sendiri tudung sekolah.  Ada peluang yang banyak untuk mengikuti 'Bulatan Gembira', bak kata Inche Gabbana. Tetapi tudung aku sekarang?? Tudung singkat segitiga. Atau terkadang lilitan  kain panjang dipanggil selendang. Terasa bagai penampar singgah di kedua-dua pipi. Gosok-gosok, perit.

Aku sentuh jahitan tengah tudungnya. "Ha, D. Ni dulu kalau akak kat sekolah, kitorang suka jahit macamni. Tudung warna lain, benang warna lain sikit. Nampak outstanding..hahaha"

"Ouh, tudung ni bukan saya yang jahit. Saya belum lagi pandai jahit tudung bulat. Ni pun orang kasi, ada beberapa helai je. Akak pandai yek buat tudung bulat? hadiahkan kat saya please...tak payah bagi duit raya tahun depan..hehe", balas D riang gembira.

Sentap lagi. Ye, saya pandai buat tudung bulat. Dan ye, saya tak pakai pun tudung bulat. :|

Teringat cerita seorang sister, beberapa tahun nan lalu dalam sebuah Bulatan Gembira. Katanya dia mula memakai tudung labuh selepas habis sekolah menengah, bila berjinak-jinak dengan bulatan gembira ni lah. Dan keluarganya tak berapa suka. Terutama kakaknya yang freehair. Selalu kene ejek, macam 'tudung saji bergerak'... Erkk, kalau tak kuat iman, boleh hilang terus tudung dipersenda darah daging sendiri. Alhamdulillah, sister tu tetap dengan pendiriannya.

Berbalik kepada diri sendiri. Keluarga sendiri. Mak dan ayah pastinya lebih dari berbangga kalau anak-anak gadis mereka ni pakai tudung labuh. Kompem. Takde halangan langsung. Malah digalakkan lagi. Kami bertuah, dilahirkan dalam keluarga yang punya fikrah Islamiyah. Cuma anak-anak ini.........

"Kau emo apa nih?..tudung tiga segi dengan selendang kan tutup aurat jugak? Pakailah labuh paras dada..baju biar longgar..duh!~"

Well yes, memang pun masih menutup aurat. Cuma terkadang terlepas pandang, ada jugak pakai tak cukup syarat. Jangan tipu, mengaku aje. Terkadang tudung bawal jarang benar. Atau tudung segi digayakan ngam-ngam atas dada. Atau  selendang nampak lebih 'membungkus' daripada melindungi. Fashion statement, instead of declaration of faith?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Ighfir dzunubi ya Allah.

"So, apa perjuangan kau kat sini? Nak tukar terus tudung labuh?"

Teringat entry Inche Gabbana, "saya ekstrem dan saya okayh". Sikit punya like and post kat wall. haha. Well then, are you extreme enuff dear miss Syahidah??? Ouh, aku berharap aku cukup ekstrem dalam mengejar rahmat Allah, dalam mendapatkan syurgaNya. Percayalah, saya akan berusaha!

...
So, this is a reminder, especially for myself. Setiap kali mahu keluar rumah, belek semula diri sendiri depan cermin. Tak kisah tudung tiga segi atau bulat, yang penting cukup labuhkah? Baju cukup longgarkah? Aurat terlindung atau 'terbungkus'? Tak perlu wangian extreme, tapi jangan sampai badan berbau. Tak perlu mekap extreme, tapi jangan sampai nampak macam baru bangun tidur. Bersederhana.

Paling penting, apa Allah akan kata kalau aku pakai macamni-macamtu, instead of pening-pening fikir apa orang lain nak kata...


p/s: start today, not tomorrow. :)

Note to self:




Find someone who is patient enough to bear with you, your jokes and your stubbornness 
(not to mention your emoness!! haha)


Tuesday, August 30, 2011

Eid Mubarak

half of Daud's legacy | Eid eve 2011

Adnan's family (putih itu suci..;P)

Telah tamat pengajian sebulan dari Madrasatul Ramadhan. Lulus dengan cemerlangkah? Atau sekadar 'cukup makan'??Ouh, tepuk dada, tanyalah iman. hee..:D

Walau bagaimanapun, semoga tarbiyah Ramadhan yang kita jalani ini berjaya mendidik kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Jangan lupa, beribadatlah kerana Allah, bukan semata-mata kerana Ramadhan. Maka amalan-amalan yang dipertingkatkan secara mendadak bulan lepas, sepatutnya dikekalkan dan di'maintain'kan untuk 11 bulan akan datang ni. Tak gitu? hehe..

Salam eid fitri daripada kami, Daud's legacy. 

Wednesday, August 10, 2011

Mimpi itu.


Assalamualaikum semua.

Semalam ketika membaca al-Quran, aku melewati Surah Ibrahim ayat 7 yang berbunyi:

{وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ {7

Terdetik untuk berkongsi dengan korang mimpi aku sekitar 2 tahun lepas. Mimpinya agak kabur, cuma ayat di atas terngiang-ngiang sebaik sahaja aku membuka mata. Datang studio pagi itu, terus aku tanya kawan aku lulusan Darul Quran, cik uyun, dalam surah apa ayat tersebut. Dan kemudian aku mengamati maknanya. Yup, go on...sila rujuk terjemahan Quran sekarang. Maksud ayat tersebut lebih kurang begini:

"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim 14: 7)
"And [remember] when your Lord proclaimed, 'If you are grateful, I will surely increase you [in favor]; but if you deny, indeed, My punishment is severe." (Abraham 14: 7)
Sentap kan? Tertanya-tanya kepada diri sendiri, mengapa agaknya ayat itu muncul dalam mimpi? Adakah cukup rasa syukur selama aku hidup di muka bumi ini? Atau memang tidak pernah puas dengan apa yang Tuhan kurniakan. Yang ada dibiar, yang tiada dikejar. Walau mimpi kadang hanya mainan tidur, namun aku yakin, ia peringatan halus dari Tuhan. 

Teringat kisah saat Rasulullah S.A.W ditanya oleh Saidatina Aishah, apabila melihat baginda berterusan bersembahyang sehingga menyebabkan kaki baginda bengkak. Aisyah berkata: "Bukankah Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan yang akan datang? 

Baginda menjawab: "Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?"

Bagaimana pula dengan kita? Dengan cara apa kita mengekspresikan rasa syukur kita? Kadang  kita terlupa, di akhir waktu nanti kita bakal ditanya tentang segala nikmatNya yang diberi, bukan yang telah pergi. 

{فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ {13
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (Ar-Rahman:13) 
"So which of the favors of your Lord would you deny?" (Ar-Rahman 55: 13)
Semoga Allah sentiasa mengilhamkan kita supaya tetap rasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah Dia kurniakan. Amiin.


...
Macamana dengan korang? Ada kisah mimpi atau kisah syukur untuk dikongsikan? :)


Sunday, July 31, 2011

Bingkisan Ramadhan | 2011


29 Syaaban 1432H.

Berdebar. Bagai menunggu kekasih yang dirindui.

Kurang sehari lagi sebelum melangkah ke bulan ramadhan. Bulan di mana ditutup semua pintu Neraka dan dibuka semua pintu Syurga. Maka berbahagialah mereka yang mengambil kesempatan di bulan mulia ini dengan menambahkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah. Pahala percuma berganda-ganda! Buat ibadah sunat, dapat pahala ibadah wajib. Buat ibadah wajib, dapat berkali-kali ganda pahalanya!! Seakan hujan emas layaknya bulan ini. Terpulang pada engkau, samada mahu menadah besen besar sambil berlari, atau cukup sekadar cawan kecil sambil berdiri. Paling malang, kalau ada yang pandang enteng tak ambil peduli. 

Maka sempena bulan yang mulia ini, aku mahu berkongsi sesuatu. Sharing is caring, rite :). Pernah dengar Terapi Azan? Aku belajar terapi ni 19 Jun lepas dalam sebuah bengkel kendalian Dr Azhar Hj Sarip. Maaf, dah lama aku nak kongsikan tapi baru hari ni mood menulis sampai. Heheh.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila diserukan azan untuk solat, syaitan akan lari bertempiaran sambil terkentut-kentut sehingga tidak mendengar suara azan, selepas azan selesai ia kembali lagi, sehingga apabila diiqamahkan solat ia akan lari bertempiaran lagi, sehingga apabila selesai iqamah ia kembali lagi."
Okay, jom kita fikir balik. Selain petanda waktu solat, bila lagi azan dilaungkan? Ketika anak kecil baru dilahirkan, sebelum berangkat ke Mekah menunaikan ibadah, waktu petir terlalu kuat sabung menyabung, seseorang yang kerasukan...dan banyak lagi peranannya yang lain. Tapi berapa ramai antara kita yang selalu memandang ringan kedudukan azan?

Percaya atau tidak, azan sebenarnya menstabilkan dunia. Azan itu sifatnya bergelombang rendah (Alpha, Theta dan Delta) yang menyeimbangkan gelombang dunia (Beta). Azan dilaungkan sahut menyahut dari sebuah negara ke negara, dari sebuah benua ke benua tanpa henti. Ketika mana 90% manusia hidup dalam tekanan, azan yang dilaungkan mampu menstabilkan gelombang ke gelombang Theta. Hati kita menjadi tenang dan mampu untuk melakukan perkara yang baik, seandainya kita benar-benar menghayati. Apa yang jadi jika azan tiada? Masih ingat antara tanda-tanda besar hari kiamat?

Secara saintifiknya bila azan tidak dilaungkan, gelombang beta yang aktif dan negatif akan bergesel menyebabkan keseimbangan gelombang dalam dunia bertukar kucar-kacir. Jadi azan itu penting untuk menurunkan semula gelombang Beta ke Alpha, Theta dan Delta.

Di dalam otak, gelombang Beta selalunya ketika kita berfikir, bekerja atau dalam keadaan stress. Gelombang Alpha ialah gelombang yang membenarkan korang menggunakan akal, dalam keadaan santai seperti mendengar muzik. Gelombang Theta ialah zon makbul doa, keadaan antara sedar dan tidak. Waktu ini, hormon-hormon seperti endorfin, serotonin, melatonin dan DHEA yang baik untuk badan dikeluarkan dengan banyak. Terakhir, gelombang Delta dikeluarkan dalam keadaan tidur nyenyak tak bermimpi. 

Terapi Azan:
  1. Disarankan menghadap kiblat
  2. Jauhkan jam tangan dan handphone
  3. Tutup mata dan bernafas seperti biasa
  4. Sewaktu nafas dihembus, lafazkan kalimah azan 
  5. Lafazkan satu per satu dengan penuh penghayatan
Boleh jugak pasang azan mp3 dan ikut perlahan-lahan. Selain tu, azan juga boleh membumikan energi serta fikiran negatif yang ada pada kita dengan kaedah grounding. Lakukan seperti di atas, cuma perlu berdiri di atas tanah tanpa alas  kasut atau selipar. Lakukan terapi azan pada bila-bila masa terutama sebelum tidur, dan grounding at least 10 minit seminggu. Insya Allah, terapi ini berkesan terutamanya bila kau berada dalam keadaan gelisah, sakit mahupun kesulitan. Dan semoga kekhusyukan dalam solat yang kau cari selama ini dapat kau temui.

Selamat beramal dan beribadah. Terapi azan, bingkisan ramadhan buat kalian. :)


p/s: kalau korang nak mp3 azan yang sedap, boleh pm aku email korang. aku akan send beberapa :)

Sunday, June 26, 2011

I'm gonna miss you all.

Offered to become a teacher for two months really is a great opportunity, at least for me. What's more, it is in IIUM PJ- my garden of knowledge and virtue. Have been assigned to take care of 21 kids of 3-years-old makes me feel honored. It is not an easy job. This is when they learn from our actions and words. Scolding them without reasoning only give them the wrong signal. Well yes, Urban and Regional Planning has nothing to do with teaching and kids development. But somehow, being the eldest in the family, and the 5th grandchildren of 30 really helps a lot. 

Sadly, I have to quit earlier. As early as this Thursday. Not because I hate the job. Or tired of taking care other people's children. The kids are adorable. I cannot simply quit on them. But simply because of my brother's wedding. Well, the wedding was originally planned after raya, but then the whole family decided to change the date to the mid of July. Yeah, do the math. It's only 3 weeks left. It's gonna be 3 hectic weeks~

Dear jewels,  4 weeks really is a short time. But it is also a sweet memorable one. You won't probably remember me in the near future. But I'll be missing you all. My prayers are with you. Always! Semoga setiap daripada kamu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Insya Allah.















Somehow, I believe I'm ready to be a mom. eheh~ :P

Pengantin baru!

"Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir." (ar-Ruum: 21)

Tahniah untuk adik lelaki aku, Itan yang melangsungkan perkahwinan 11 Jun lepas, seraya melangkah sebanyak 2 bendul haha. Aku masih memikir-mikir hadiah apa yang kau boleh 'bayar' kat aku dan Angah :P. Untuk adik ipar aku, Izzah Izzati Hamzah, selamat datang ke keluarga Encik Adnan :D.

Majlis belah perempuan berlangsung dengan sangat meriah di Temerloh, Pahang. Untuk belah laki pulak, akan diadakan pertengahan Julai ini. Beberapa gambar untuk tatapan korang semua. (Setuju tak, adik aku nampak lebih macam 'abang' aku? haha~)












Semoga berkekalan bahagia di bawah rahmat Yang Esa sampai ke syurga. Perkahwinan bukan untuk suka-suka. Bukan juga bukan sekadar memenuhi tembolok nafsu. Ia penuh dengan tanggungjawab, dan beringatlah. Kita semua akan ditanya tentang tanggungjawab kita di sana nanti. Semoga setiap langkah diiringi zikrullah. Semoga setiap masalah diiringi hikmah. Selamat pengantin baru :)

p/s: all photos are courtesy of Mohd Syauqi Zakaria


Sunday, June 19, 2011

Graduasi

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-74

Bulan lepas, adik aku Angah selamat bergraduasi. Akhirnya. Selamat bergraduasi, Angah. Teruskan belajar, mana tahu kau lebih cemerlang daripada aku lepas ni. 

Untuk pengetahuan umum, konvokesyen aku bulan 10 ni. Dan ini senarai pendek apa yang aku prefer sempena hari bersejarah aku tu. Ahhahaha.
  1. Teddy bear. Tapi hanya jika teddy bear tersebut bersaiz lebih besar daripada budak umur setahun. Kalau kecik, tak payah la susah-susah beli. (Sila jangan libatkan umur aku dalam hal ini. sekian~ :P)
  2. Coklat hitam atau dark coklat. The bitter, the better. Tapi tak perlu la beli sampai 85% dark. Kelat-kelat muka aku nak menghabiskannya nanti.
  3. Buku. Aku prefer yang ni berbanding yang lain. Tak perlu susah-susah cari novel apa paling top, sebab aku tak nak novel pun. Buku ilmiah, agama, atau kehidupan shall be good enough.
Tak perlu jambangan bunga (kecuali Idah Nor yang dah janji nak bagi flower bouquet paling besar dijual pada hari kejadian :P) . Sebab aku tau, aku takkan simpan bila dah layu nanti. Tapi kalau korang nak jugak belikan bunga, bagila sekali dengan pasu. Boleh simpan lebih lama :)

Apa-apa pun, doa koranglah yang paling penting. Itu yang paling aku nak. Tolong doakan aku.
Kerana bila kau mendoakan orang lain, kau juga mendoakan untuk diri sendiri.

Saturday, June 18, 2011

Berdiri lebih baik.

Kalau korang dari kalangan captive riders, dah tentu-tentu korang bergerak menggunakan pengangkutan awam. Tapi rasanya di Kuala Lumpur, ramai je choice riders yang gunakan public transport untuk mengelakkan traffic jam, dengan syarat rumah dan pejabat dekat dan mudah untuk gunakan public transport.

Aku ada lesen kereta, cuma keretanya lah yang takde. Kalau mak tak guna kereta, barulah aku boleh memandu sendiri ke mana-mana. Kalau tak, naik public je la jawabnya. Kalau korang selalu naik public, terutama KTM Komuter, korang akan tau betapa sesaknya setiap coach terutama waktu puncak dan cuti sekolah. Pernah aku kena naik train yang ke 3 sebab 2 train sebelumnya penuh sesak. Tak boleh nak sumbat langsung. Belum ambil kira manusia yang suka tolak menolak lagi.

Satu habit aku bila naik public transport ialah aku lebih suka berdiri. Sebabnya, kalau aku duduk aku dah malas nak bangun. Dan kalau aku nampak ada orang yang lebih memerlukan tempat duduk masuk, aku akan rasa sangat bersalah, tapi sangat malas untuk bangun. Dada aku akan berdebar-debar sambil mata melilau tengok orang-orang yang duduk di sekitar orang tadi. Sehinggalah ada orang lain yang akan bangun dan beri tempat duduk kepada orang tadi, baru aku rasa lega. Ya, ada kesengalan sedikit di situ. Tapi ini hanya berlaku kalau orang tu jauh daripada aku. Kalau dekat or depan mata, memang aku terus bangun. Aku taklah sekejam atau sesengal mana.

Kadang-kadang untuk mengelakkan rasa bersalah yang melampau itu, kalau aku naik komuter dari Rawang, aku akan tidur. Perjalanan Rawang-Kuala Lumpur ambil masa 45 minit. Cukup untuk mimpi pun. Bila tidur, tak nampak lah siapa yang masuk. Bila tak nampak, kurang lah rasa bersalah aku. 

Tapi kalau aku naik dari stesen lain, atau naik LRT, aku lebih rela berdiri daripada berebut tempat duduk. Biarlah orang lain yang berebut. Sebabnya korang dah tau. Aku takkan rasa bersalah bila ada orang yang lebih memerlukan masuk ke dalam train. Dan aku boleh mengutuk orang-orang yang duduk sebab buat bodoh dan tak bagi tempat dorang, macamlah dorang sakit tenat. 

Aku rasa, itu cara terbaik untuk mengubat penyakit malas tak bertempat aku tu. Ya, berdiri lebih baik. Tak payah duduk langsung. Berdiri jek. Sambil berdiri, kadang-kadang aku suka uji tahap keseimbangan diri sendiri dengan tak pegang apa-apa. Berdiri tegak dan jangan jatuh. Ia menyeronokkan, silalah cuba haha.

Mengajak dan mengajar adik-adik berdiri dalam LRT :)

Sebetulnya banyak yang boleh dilihat. Manusia yang pelbagai. Ragam yang berbagai. Jangan sekadar melihat. Belajarlah.

My ayah my hero

Ayah and me, one month old.

This is my father. His name is Adnan Ahmad. We call him, 'ayah'. He is one year older than emak. A loving husband to emak, a great father to 7 of us! There are so much that I learn from him. His patience is one of them. I believe I inherit most of his features than emak. I think our face, our hair, our silence, our jokes, our 'sawo matang' skin color, are almost the same. Hehe..

He was a great cook. He used to make his own recipes and yes, we the first-gen were the 'victims' to taste all those new recipes. But they were delicious though. I love them, and kinda miss them. You should try. Seriously.

He likes to make jokes, which orang utara said, 'lawak kerin'. I still remember when I was in primary school he scold us for being pelupa in an early age. He said (with a serious face),
"Macamana hangpa kecik-kecik dah jadi pelupa? Ayah sampai sekarang dok ingat lagi hari ayah lahir. Masa tu suma gelap. Tiba-tiba ayah rasa ada orang tarik. Ayah nampak ada cahaya, pastu ayah bukak mata. Nampak la tokwan ngan opah hangpa..."
And the laugh burst. :D

Mind you, he is the coolest father in the world. As cool as cucumber. When I first encountered heartbreak (and it was only last year. yes, i was 24 already), he gave what every father would give- a peace of mind. Unlike emak who were act protectively,  he was more fair and square. Never once he blamed mr ex nor me. Well I guess, a Martians knows another Martians better, aite? Tell you what, during the first week of the heartbreak, he came into my room every night just to check if I was okay or not. I felt like a little girl again. Somehow, it was a nice feeling to have. (yes, mr ex. you are lucky~)

My pray for you ayah, may Allah bless you, and our family with His rahmah, sakinah and mawaddah. 

Eid Fitr 2009
























He's my father. Simply my hero. My own superhero. 
Love you so much ayah!

Friday, June 10, 2011

Mencari kata

Pernah tak...


Di saat kau mempunyai banyak perkara untuk diluahkan, kau simply kehilangan kata-kata. 
Di saat kau mempunyai banyak kisah untuk dikongsikan, kau tak tahu nak mula dari mana. 
Di saat kau mempunyai banyak khabar untuk diberitakan, hati berbicara namun lidah kelu tangan membeku.


Oh, aku benci saat ini. :|

Gambar tiada kena mengena dengan tajuk. Sekian.

Sunday, May 29, 2011

Selangkah menuju Palestin.

Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Muhammad Sallallhu'alaihi Wasallam sabdanya: "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul (Masjidi an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa di Palestin." (Hadis Al-Bukhari)
Bulan Mei 2011. Genaplah 63 tahun peristiwa Nakbah berlalu. Tahu apa itu Hari Nakbah? Ia adalah hari kecelakaan bagi seluruh umat Islam pada 15 Mei 1948 yang lalu apabila negara Palestin dirampas dan penduduk Arab diusir dari tanah air mereka. Israel laknatullah pula sebaliknya menyambut hari ini sebagai 'Hari Kemerdekaan' mereka kerana memenangi peperangan 'The War of Independence'
...

Konvoi Pembebasan Palestin 2011. Diadakan pada 20 Mei yang lalu, konvoi ini merupakan program anjuran Aqsa Syarid Berhad dengan kerjasama Viva Paletina Malaysia.  Tujuan utamanya adalah untuk mengedar risalah dan memberi penerangan kepada masyarakat tentang Hari Nakbah dan kepentingan kita sebagai umat Islam untuk terus membela dan mempertahankan Palestin. 

Difahamkan, konvoi ini disertai oleh lebih 500 peserta pelbagai lapisan. Konvoi dipengerusikan oleh Saudara Zun Arif dari Aqsa Syarif Selangor dan disertai oleh kelab Skuter Malaysia, Kelab Bumi Bikers & Adventures, para pelajar IPT, remaja-remaja dan tak kurang keluarga dari pertubuhan IKRAM Malaysia. Kedua-dua anggota kelab motosikal tadi yang berjumlah 45 orang dilantik sebagai marshall untuk mengawal kelancaran perjalanan konvoi.

-gambar ihsan Dieyl.

Majlis bermula dengan taklimat dan ucapan-ucapan di Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Timbalan Presidan IKRAM, Prof Dr Muhammad Hatta Shahrom, Dr Hafidzi Mohd Nor (Pemangku Pengerusi Aqsa Syarif, Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan wakil Palestin. Terdapat dua route konvoi pada hari tersebut. Route untuk Group A adalah seperti berikut:
Masjid Wilayah, Kuala Lumpur-->Taman Tasik Titiwangsa, KL-->KLCC-->Masjid Bukit Indah, Ampang-->R&R Awan Besar, KESAS-->Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Manakala route untuk Group B pula adalah seperti berikut:
Masjid Wilayah, Kuala Lumpur-->Taman Metropolitan, Kepong-->KL Sentral-->Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara-->Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara-->Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Aku dimasukkan ke Group B. Dan marshall kami merupakan ahli Kelab Bumi Bikers & Adventures (motosikal berkuasa tinggi okay! :P)


Majlis berakhir di Masjid Biru Shah Alam. Masjid penutup diserikan dengan pidato bersemangat oleh Dr Hafidzi, puisi oleh Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk A Samad Said yang bertajuk ‘Bumi Tengkorak’ dan ‘Anak-anak Palestina’, persembahan puisi oleh Bob dan Santhira Morgan, persembahan lagu penuh mesej lagi bertenaga daripada Muadz & Friends serta persembahan nasyid daripada kumpulan Caliph. 

Gambar-gambar sepanjang konvoi boleh dilihat di sini 
...

Ayah meminjamkan kereta Kembara kepunyaan pakcik Fakhrudin untuk konvoi kami. Alhamdulillah dipermudahkan. Seawal 7 pagi, aku bertolak dari Rawang terus ke Masjid Wilayah untuk pendaftaran. Selesai sarapan, taklimat dan ucapan perasmian juga pelepasan, kami bergerak ke destinasi masing-masing lebih kurang jam 9 pagi. 

K.chik, Raihan, Dieyl, aku. -Gambar ihsan ustaz Rofazlin Jusoh

Pukul 12 tengahari, kami berhenti di hentian ketiga kami iaitu Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara. Selepas melepaskan lelah, solat zuhur juga makan tengahari, kami bersiap untuk ke destinasi seterusnya kira-kira jam 3 petang. Aku dengan penuh confident hidupkan enjin kereta. Dan penuh confident jugak, kereta tu tak mengeluarkan walau sebarang bunyi. Ah sudah...apahal pulak ni tiba-tiba tak boleh hidup. Aku tengok jarum minyak dan temperature, semua nampak normal. Dan aku usha pulak lampu kereta (sepanjang konvoi kami diarahkan untuk membuka lampu besar dan lampu hazard kecemasan). Okay, aku tak tutup lampu besar tu :|

Macamana aku boleh lupa nak tutup lampu tu?! Padahal dah 2 perhentian sebelumnya aku memang check lepas tutup lampu hazard, kene tutup lampu kereta sekali. Sebab aku tau, kalau tak tutup, confirm2 bateri kong. Sekali lagi, dengan penuh confident aku tanya salah seorang pakcik peserta konvoi yang park kereta depan kereta aku, "Assalamualaikum pakcik, boleh tolong saya jump start kereta tak? Kereta saya tak boleh start." Sekurang-kurangnya, aku taklah nampak seperti tipikal perempuan yang hanya tahu guna kereta tapi langsung tak tahu masalah kereta, kan? haha.

Alhamdulillah, ada pakcik yang bawak wayar jump start tu. Dan alhamdulillah juga, kereta kami berjaya dihidupkan. Terima kasih untuk semua pakcik-pakcik yang bersusah payah. Peserta lain masih tak tahu ketika tu sebab dorang semua dah pun beratur di luar perkarangan masjid untuk meneruskan konvoi. 

-gambar ihsan Dieyl.

-gambar ihsan Dieyl.

Lebih kurang setengah jam kemudian, kami tiba di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Pakcik ketua rombongan (KR)-maaf, kami tak ingat nama pakcik- memberi taklimat ringkas tentang tugasan kami di sana. Kalau sebelumnya kami mengedarkan risalah di kawasan awam, kali ini kami ditugaskan untuk mengedar risalah dari rumah ke rumah. Sejurus sebelum tamat taklimat, Ustaz Rofazlin Jusoh berbisik-bisik ke telinga pakcik KR sambil menunjuk-nunjuk ke arah kami.

Dalam debaran, pakcik KR mengumumkan, "Okay, kita ada satu lagi tugas tambahan. Kat masjid tadi, ada sebuah kereta peserta konvoi yang bateri dia kong sebab terlupa tutup lampu. Jadi, apa kata kita sama-sama...."

Dalam hati aku, "sama-sama berdoa bateri kami tahan sampai akhir konvoi? sama-sama periksa kereta masing-masing takut ada terlupa tutup lampu lagi?sama-sama apa..??"

"...mengutip derma kilat supaya kita dapat belikan bateri kereta baru untuk mereka, setuju?"tanya pakcik KR.

"SETUJU!!!", tanpa ragu-ragu semua menjawab serentak. 

Sejujurnya, aku sebak, terharu dan segan dalam masa yang sama. Bateri kong adalah kesalahan aku sendiri kerana terlupa. Dan mereka semua mahu menghulurkan bantuan atas kealpaan aku itu?? Allah, kau jua yang mampu membalas jasa mereka.

Selepas wang derma dikumpul, ia disampaikan oleh Ustaz Rofazlin kepada aku sebagai pemandu kereta. Cukup untuk aku katakan jumlah wang tersebut boleh beli 2 atau 3 bateri kereta yang baru! Dan selepas tu, ustaz dan beberapa yang lain pergi membeli, juga membawa mekanik untuk menukarkan bateri tadi. Dan hingga sekarang, kami berempat masih lagi speechless

Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Rofazlin. -gambar ihsan Dieyl.

Mekanik tukarkan bateri dalam hujan. -gambar ihsan ustaz Rofazlin
...

Sejujurnya, banyak yang aku pelajari daripada konvoi ini. Tahukah korang, kita banyak berhutang dengan saudara-saudara di Palestin? Mereka menggadai nyawa untuk mempertahankan Masjidil Aqsa, masjid ketiga terpenting dalam Islam. Realitinya, Al-Aqsa adalah isu umat Islam, bukan bangsa Arab semata. Telah lama mereka berjihad. Tidak mungkin sumbangan kecil untuk menampung perjuangan mereka pun kita tak mampu beri? Mahukah di akhirat kelak, mereka menuntut dari Allah atas kelembapan, kelesuan dan kebisuan kita terhadap isu ini?

Selain itu, aku merasai sendiri manisnya persaudaraan yang disemai atas nama Allah. Hingga kau akan tertanya-tanya, layakkah diri mendapat buah semanis ini sedangkan baja yang kau letak kadang-kadang hanyalah Gred B?


 وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ (٧١)
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71)

Ukhuwah itu tak ternilai harganya, andai saja kau tahu menghargai. 
Perjuangan itu manis rasanya, andai saja kau tahu apa yang menanti.

Thursday, May 26, 2011

Berpura-pura kuat.

Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan. gambar- www.iluvislam.com 





















Kuat dan berpura-pura kuat adalah dua perkara yang berbeza. Dan aku mahu percaya, orang yang berpura-pura kuat masih tergolong dalam kumpulan orang yang kuat. Kerana bagi aku, orang yang lemah takkan mampu pun untuk berlakon atau berpura-pura. 

Pada saat ini, hanya Allah yang mengetahui apa rasanya menjadi Nur Syahidah Adnan. Dan kau takkan mahu berada di tempat aku. Sungguh! Aku tidak sekuat mana, dan aku percaya aku lebih banyak berpura-pura kuat. Namun aku berdoa agar aku sentiasa kuat dan tenang. Berada di kalangan orang-orang mukmin yang kuat. Yang lebih disayangi, dan lebih dikasihiNya. Semoga setiap ujian itu, menambahkan kebaikan dan mengurangkan keburukan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”
Riwayat Muslim


Allah, ampuni aku.

Tuesday, May 24, 2011

Jadi kau kena saman trafik!

Banyak cerita aku nak update, tapi belum berkesempatan lagi. Maka, aku update cerita hari ini dulu.

Dua bulan lepas, aku balik daripada teman adik aku cari barang kat uptown Danau Kota pukul 1 pagi. Malas nak tunggu lampu merah yang macam tak perasan aku ada kat situ, aku masuk je kampung aku tu. 

Dan aku nampak lampu biru-biru dari cermin pandang belakang. Tak tipu, aku mencarut dalam hati. Macamana boleh tak perasan kereta peronda yang tunggu belakang kereta aku tadi???chiss!~

Maka, aku kena saman trafik. Dalam kertas tu tulis, pergi Mahkamah Majistret Selayang pukul 9 pagi pada 24 Mei 2011. Dipendekkan cerita, alhamdulillah saman aku dikurangkan daripada RM300 ke RM100 sahaja. Jadi, sedikit sebanyak tips daripada aku:

  • Datang awal, supaya kes kau boleh difailkan segera. Bermaksud, kau akan dipanggil awal, tak payah tunggu lama-lama.
  • Ikut cakap encik/puan polis yang bertugas. Kalau dia suruh bangun masa Tuan/Puan Majistret masuk, sila berbuat demikian.
  • Bila nama kau dipanggil, sila ke hadapan. Encik/puan polis akan tunjukkan di mana kau kena berdiri. (ikut apa yang aku perasan tadi, orang yang kes dia dah lama dan bawak peguam, mereka akan duduk di kandang pesalah. Yang lain-lain termasuk aku, berdiri je depan Puan Majistret tu)
  • Bila kau berdiri kat tempat yang ditetapkan, pertuduhan akan dibacakan. (Pegawai yang bertugas -tak tahu apa nama jawatan dia- akan sebut nama kau, kesalahan kau, di mana, pukul berapa, kenderaan apa..etc)
  • Bila dia tanya mengaku salah atau tidak, sila jawab "SAYA MENGAKU BERSALAH". 
  • Bila dia tanya apa rayuan kamu untuk pertuduhan ini, jawablah kau mintak saman dikurangkan kerana belum bekerjaya, atau anak sulung kena sara keluarga, atau masih belajar...apa-apa alasan yang munasabah dan betul. 
  • Buat muka kesian dan jangan pakai cantik-cantik sangat (haha...ni takde kene mengena pun sebenarnya. Tapi tadi aku pakai baju kurung hijau dengan kasut biru lusuh tu hehe)
  • Maka Tuan/Puan Majistret akan memberitahu apa hukuman yang dikenakan. Dalam kes aku, "kamu didenda RM100, kalau tak bayar, masuk penjara seminggu."
  • Lepas hukuman dibacakan, jangan terus keluar, duduk dulu tempat tadi. Bila Tuan/Puan Majistret dah keluar baru kau boleh keluar dan terus bayar saman tadi.

Sedikit penambahan, sistem saman sekarang ialah, makin lambat kau bayar, makin banyak jumlah bayaran. Tapi itu ikut jenis kesalahan jugak la. Kalau saman kau kategori pertama, tak kisah lah kau bayar awal atau lambat, bayarannya still RM300. Jadi, lebih baik kau masuk mahkamah. Boleh jugak mintak rayuan dikurangkan. (Kesalahan aku adalah kesalahan kategori pertama :| )Boleh rujuk gambar bawah ni:


Jangan risau, Mahkamah Majistret Trafik bukanlah seperti mahkamah jenayah yang besar, luas dan menakutkan tu. Bilik dia kecil sahaja. Meja panjang dan tinggi untuk Tuan/Puan Majistret, 2 meja lain dan beberapa bangku panjang. Aku nak tangkap gambar dalam tu, tapi takut pulak. hehe..



Pesanan aku, berhati-hati di jalan raya. Berhati-hati walau di mana kau berada. Sila peka terhadap keadaan sekeliling. Siapa tahu  ada musuh dalam selimut..??

Saturday, May 14, 2011

Saat itu. Saat ini.

Tahun 1995.

Rumah kami mula didirikan di tanah arwah atuk, yang ketika itu masih lagi sihat walafiat. Setelah puas berpindah randah sejak pulang ke Malaysia, akhirnya kami ada rumah sendiri. Tanah ni asalnya kebun atuk. Masih ada beberapa pokok durian di lot sebelah. Ada 3 lot kesemuanya, rumah kami di tengah-tengah.

Rumah kami dalam pembinaan


Rumah kami baru siap, dari depan. Pokok masih sikit

Di pertengahan tahun itu, kami pindah ke Rawang. Hari pertama persekolahan, ayah dan atuk temankan aku dan Angah. Aku darjah 3, Angah pulak darjah 1. Hari tu merupakan hari kedua peperiksaan pertengahan tahun. Di penghujung 1995 itu, atuk kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Aku dan atuk, kat halaman rumah atuk.
...

Kat depan rumah aku, ada sebatang anak sungai yang mengalir perlahan. Tak dalam, takat buku lali je, kecuali masa hujan. Saat yang paling aku suka di zaman kanak-kanak adalah membuka tingkap di waktu pagi. Kau akan dengar bunyi air terjun dan burung-burung berkicauan. Waktu kecik-kecik, aku dan adik-adik suka tangkap anak ikan dan udang, kononnya nak bela. Of course, seminggu lepas tu dorang semua mati.



Mandi sungai pulak ialah aktiviti bila sepupu sepapat pulang ke rumah wan hujung minggu. Oh yek, aku dan wan tinggal sekampung. Cuma rumah wan kat depan, rumah kami jauh ke belakang kampung. Kadang-kadang dorang mandi depan rumah, tapi selalunye budak-budak lelaki akan berjalan naik sikit lagi ke atas. Ada jeram yang sejuk dan menyegarkan. Kecut-kecut la kulit dorang berendam dalam tu.

Ni masih di depan rumah :)


Operasi 'bersihkan sungai' cik raiy dan adik2. (2008)

Macam aku cakap tadi, walaupun sungai ni cetek, selalu jugak jadi banjir, terutama kalau hujan lebat. Antara yang paling teruk, macam dalam gambar bawah ni:

Langsung tak nampak jambatan. Air dah nak sampai ke pintu rumah. (2008)

Waktu rumah ni baru-baru siap, ada banyak lopak di sekeliling rumah yang tak terkambus. Dalam tu banyak berudu. Kerja aku dan adik-adik petang-petang, main dengan berudu-berudu tu...Kulit berudu ala-ala transparent seingat aku, sebab dari bawah boleh nampak  tali perut dia berpusar-pusar. Aku suka picit berudu tu sampai keluar isi perut. Pastu gelak ramai-ramai ngan adik aku. Heh, memang tak padan ngan pompuan. Tapi 2,3 hari lepas tu mak terus suruh ayah kambus lopak. (Waktu tu aku rasa ayah kejam sebab kambus berudu tu hidup-hidup. Tak sedar diri, yang aku pun sama picit berudu tu hidup-hidup!)

Betul-betul belakang rumah, ada bukit kecil. Kami panggil hutan. Pokok-pokoknye memang tinggi-tinggi. Tahun 1998, keluarga aku pernah berkebun kat bukit belakang tu. Tanam sayur, kacang tanah, bendi, even jagung. Masa tu wan, pak andak, arwah mak chek duduk rumah kami sebab rumah wan buat baru. Tapi tak lama lepas tu kami dapat tau tanah tu ada tuannya. So, wan bercucuk tanam kat bawah aje.

Ni bukan belakang rumah tapi tepi rumah.
Tak jumpa pulak gambar lama belakang rumah.



Binatang liar? Babi hutan tak payah cerita la. Pernah mak aku sidai kain, dia meluru dari hutan belakang tu lalu betul-betul sebelah mak aku. Alhamdulillah tak disondolnya. Pernah jugak babi ni bersiar-siar bawak 1 family turun belakang rumah aku tu. Dulu, pakcik Singh suka ke belakang hutan tu tembak babi. Monyet pun sama, yang mana aku leh tengok macam-macam spesis keluar dari hutan belakang ni. Kalo tak salah mata dan ingatan aku, babun pun ada. Kira bukan tipikal monyet yang korang nampak kat Hutan Lipur Kanching tu la. 

Salah satu spesis yang keluar


Anak ular mati jumpa bawah meja

Kalau ular tu selalu jugak masa kecik-kecik jumpa. Pernah sekali aku nampak warna putih, tapi bukan albino, keluar dari bawah sofa kitorang. Sekarang dah tak sangat la. Pupus agaknya. Lipan dan kalajengking pun pernah la ada. Pernah sekali tu mak aku tergerak hati nak check kitorang yang tengah tidur ni. Rupanya ada cik lipan tidur jugak betul-betul sebelah aku. Bila mak bukak lampu, terus dia lari. Aku pernah bayangkan cik Belang mungkin akan keluar dari situ satu hari nanti haha...

Jadi disebabkan binatang-binatang ni semua (ok, tak semualah..), maka kami jarang tanam pokok-pokok yang bakal disondol babi atau dicurik monyet. Terutama bila wan pindah balik ke rumahnya. Ada jugak la pokok berbuah macam bacang, pulasan, nangka, terap, pisang dan cempedak. Selalu jugak la gaduh ngan monyet-monyet nih berebut buah haha. Kebanyakan flora yang ada kat rumah ialah tanaman-tanaman yang tak perlu penjagaan rapi. Yelah, hujan je yang tolong siram pokok-pokok kat rumah aku ni. Kitorang dah bertahun tak siram pokok. hihi.
...

Tahun 2011.

Semenjak tahun lepas lagi isu tanah belakang rumah ini sudah berbangkit. Satu kawasan small-medium industry akan dibangunkan. Pada awal tahun ini, bukit kecil belakang rumah telah pun digondolkan. Yang tinggal cuma pokok-pokok di sempadan antara tanah kami dan tanah mereka.

Pokok-pokok di sempadan masih ada,
tapi bukit belakang sudah gondol (8 mei 2011)


Minggu ini, kerja-kerja membuat tembok diteruskan. Bunyi pokok patah dan tumbang benar-benar boleh buat orang depress. Maka, cerah sudah lah hutan redup kebanggaan kami sejak kecil ini. Petang tadi, tengok si Raja Udang terbang melilau mencari sarangnya yang dah tiada. Sayu je melihatnya. Harap dia akan buat sarang baru tak jauh dari rumah. Jadi setakat ni, ni lah yang terjadi kat belakang rumah kami.

(8 Mei 2011)

Nampak rumah kami sebelah kiri? (11 Mei 2011)

Pokok-pokok sempadan mula tumbang (11 Mei 2011)

Bakal digantikan dengan tembok 30 kaki (13 Mei 2011)

(13 Mei 2011)

Ayah, di belakang rumah jiran
...

Sebagai pelajar jurusan perancangan bandar, aku memahami betapa kita memerlukan pembangunan bagi 'menghidupkan' sesebuah kawasan. Cuma aku rasa, Rawang ni dah terlalu banyak commercial & industrial area. Tak mahukah mereka menyediakan taman rekreasi untuk kami? Tidaklah entry ini ditulis bagi membantah pembangunan tersebut. Cuma ingin berkongsi dengan korang semua, apa rasanya bila sesuatu yang sangat bernilai itu (alam sekitar) hilang di depan mata. Benar kata orang, sesuatu itu terasa lebih berharga bila ia mulai pergi. Maka, cara untuk kita menghargai sesuatu ialah dengan menyedari ianya boleh hilang pada bila-bila masa. 

Pada saat ini, aku berharap sungai di depan rumah itu akan kekal cantik dan bersih. Yang mana hakikatnya, sampah sarap masih boleh dilihat hanyut dan tersangkut di depan rumah. Banyak kali juga, aku dan adik-adik mengeluarkan sampah dari sungai tu. Tapi kalau sikap manusia yang suka buang sampah merata tu tak diubah, tak mustahil sungai jernih tu boleh bertukar menjadi 'longkang busuk'. 

Imam Ghazali pernah bertanyakan soalan kepada anak-anak muridnya. Salah satu soalan berbunyi, "Apakah perkara paling berat di dalam dunia?" Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. "Semua jawapan hampir benar," kata Imam Ghazali, "tapi yang paling berat adalah 'memegang amanah'."


Dan sedarkah kita yang alam sekitar itu sebahagian daripada amanah Allah untuk kita?
Rasulullah saw bersabda bermaksud : “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim)

Hidup ini singkat. Berusahalah. Demi dirimu, juga generasimu. Demi duniamu, juga akhiratmu.

ㅋㅋㅋ

Daisypath Friendship tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...