Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Muhammad Sallallhu'alaihi Wasallam sabdanya: "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul (Masjidi an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa di Palestin." (Hadis Al-Bukhari)Bulan Mei 2011. Genaplah 63 tahun peristiwa Nakbah berlalu. Tahu apa itu Hari Nakbah? Ia adalah hari kecelakaan bagi seluruh umat Islam pada 15 Mei 1948 yang lalu apabila negara Palestin dirampas dan penduduk Arab diusir dari tanah air mereka. Israel laknatullah pula sebaliknya menyambut hari ini sebagai 'Hari Kemerdekaan' mereka kerana memenangi peperangan 'The War of Independence'.
...
Konvoi Pembebasan Palestin 2011. Diadakan pada 20 Mei yang lalu, konvoi ini merupakan program anjuran Aqsa Syarid Berhad dengan kerjasama Viva Paletina Malaysia. Tujuan utamanya adalah untuk mengedar risalah dan memberi penerangan kepada masyarakat tentang Hari Nakbah dan kepentingan kita sebagai umat Islam untuk terus membela dan mempertahankan Palestin.
Difahamkan, konvoi ini disertai oleh lebih 500 peserta pelbagai lapisan. Konvoi dipengerusikan oleh Saudara Zun Arif dari Aqsa Syarif Selangor dan disertai oleh kelab Skuter Malaysia, Kelab Bumi Bikers & Adventures, para pelajar IPT, remaja-remaja dan tak kurang keluarga dari pertubuhan IKRAM Malaysia. Kedua-dua anggota kelab motosikal tadi yang berjumlah 45 orang dilantik sebagai marshall untuk mengawal kelancaran perjalanan konvoi.
-gambar ihsan Dieyl. |
Majlis bermula dengan taklimat dan ucapan-ucapan di Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Timbalan Presidan IKRAM, Prof Dr Muhammad Hatta Shahrom, Dr Hafidzi Mohd Nor (Pemangku Pengerusi Aqsa Syarif, Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan wakil Palestin. Terdapat dua route konvoi pada hari tersebut. Route untuk Group A adalah seperti berikut:
Masjid Wilayah, Kuala Lumpur-->Taman Tasik Titiwangsa, KL-->KLCC-->Masjid Bukit Indah, Ampang-->R&R Awan Besar, KESAS-->Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Manakala route untuk Group B pula adalah seperti berikut:
Masjid Wilayah, Kuala Lumpur-->Taman Metropolitan, Kepong-->KL Sentral-->Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara-->Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara-->Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Aku dimasukkan ke Group B. Dan marshall kami merupakan ahli Kelab Bumi Bikers & Adventures (motosikal berkuasa tinggi okay! :P)
Majlis berakhir di Masjid Biru Shah Alam. Masjid penutup diserikan dengan pidato bersemangat oleh Dr Hafidzi, puisi oleh Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk A Samad Said yang bertajuk ‘Bumi Tengkorak’ dan ‘Anak-anak Palestina’, persembahan puisi oleh Bob dan Santhira Morgan, persembahan lagu penuh mesej lagi bertenaga daripada Muadz & Friends serta persembahan nasyid daripada kumpulan Caliph.
Gambar-gambar sepanjang konvoi boleh dilihat di sini.
...
Ayah meminjamkan kereta Kembara kepunyaan pakcik Fakhrudin untuk konvoi kami. Alhamdulillah dipermudahkan. Seawal 7 pagi, aku bertolak dari Rawang terus ke Masjid Wilayah untuk pendaftaran. Selesai sarapan, taklimat dan ucapan perasmian juga pelepasan, kami bergerak ke destinasi masing-masing lebih kurang jam 9 pagi.
K.chik, Raihan, Dieyl, aku. -Gambar ihsan ustaz Rofazlin Jusoh |
Pukul 12 tengahari, kami berhenti di hentian ketiga kami iaitu Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara. Selepas melepaskan lelah, solat zuhur juga makan tengahari, kami bersiap untuk ke destinasi seterusnya kira-kira jam 3 petang. Aku dengan penuh confident hidupkan enjin kereta. Dan penuh confident jugak, kereta tu tak mengeluarkan walau sebarang bunyi. Ah sudah...apahal pulak ni tiba-tiba tak boleh hidup. Aku tengok jarum minyak dan temperature, semua nampak normal. Dan aku usha pulak lampu kereta (sepanjang konvoi kami diarahkan untuk membuka lampu besar dan lampu hazard kecemasan). Okay, aku tak tutup lampu besar tu :|
Macamana aku boleh lupa nak tutup lampu tu?! Padahal dah 2 perhentian sebelumnya aku memang check lepas tutup lampu hazard, kene tutup lampu kereta sekali. Sebab aku tau, kalau tak tutup, confirm2 bateri kong. Sekali lagi, dengan penuh confident aku tanya salah seorang pakcik peserta konvoi yang park kereta depan kereta aku, "Assalamualaikum pakcik, boleh tolong saya jump start kereta tak? Kereta saya tak boleh start." Sekurang-kurangnya, aku taklah nampak seperti tipikal perempuan yang hanya tahu guna kereta tapi langsung tak tahu masalah kereta, kan? haha.
Alhamdulillah, ada pakcik yang bawak wayar jump start tu. Dan alhamdulillah juga, kereta kami berjaya dihidupkan. Terima kasih untuk semua pakcik-pakcik yang bersusah payah. Peserta lain masih tak tahu ketika tu sebab dorang semua dah pun beratur di luar perkarangan masjid untuk meneruskan konvoi.
-gambar ihsan Dieyl. |
-gambar ihsan Dieyl. |
Lebih kurang setengah jam kemudian, kami tiba di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Pakcik ketua rombongan (KR)-maaf, kami tak ingat nama pakcik- memberi taklimat ringkas tentang tugasan kami di sana. Kalau sebelumnya kami mengedarkan risalah di kawasan awam, kali ini kami ditugaskan untuk mengedar risalah dari rumah ke rumah. Sejurus sebelum tamat taklimat, Ustaz Rofazlin Jusoh berbisik-bisik ke telinga pakcik KR sambil menunjuk-nunjuk ke arah kami.
Dalam debaran, pakcik KR mengumumkan, "Okay, kita ada satu lagi tugas tambahan. Kat masjid tadi, ada sebuah kereta peserta konvoi yang bateri dia kong sebab terlupa tutup lampu. Jadi, apa kata kita sama-sama...."
Dalam hati aku, "sama-sama berdoa bateri kami tahan sampai akhir konvoi? sama-sama periksa kereta masing-masing takut ada terlupa tutup lampu lagi?sama-sama apa..??"
"...mengutip derma kilat supaya kita dapat belikan bateri kereta baru untuk mereka, setuju?"tanya pakcik KR.
"SETUJU!!!", tanpa ragu-ragu semua menjawab serentak.
Sejujurnya, aku sebak, terharu dan segan dalam masa yang sama. Bateri kong adalah kesalahan aku sendiri kerana terlupa. Dan mereka semua mahu menghulurkan bantuan atas kealpaan aku itu?? Allah, kau jua yang mampu membalas jasa mereka.
Selepas wang derma dikumpul, ia disampaikan oleh Ustaz Rofazlin kepada aku sebagai pemandu kereta. Cukup untuk aku katakan jumlah wang tersebut boleh beli 2 atau 3 bateri kereta yang baru! Dan selepas tu, ustaz dan beberapa yang lain pergi membeli, juga membawa mekanik untuk menukarkan bateri tadi. Dan hingga sekarang, kami berempat masih lagi speechless.
Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Rofazlin. -gambar ihsan Dieyl. |
Mekanik tukarkan bateri dalam hujan. -gambar ihsan ustaz Rofazlin |
...
Sejujurnya, banyak yang aku pelajari daripada konvoi ini. Tahukah korang, kita banyak berhutang dengan saudara-saudara di Palestin? Mereka menggadai nyawa untuk mempertahankan Masjidil Aqsa, masjid ketiga terpenting dalam Islam. Realitinya, Al-Aqsa adalah isu umat Islam, bukan bangsa Arab semata. Telah lama mereka berjihad. Tidak mungkin sumbangan kecil untuk menampung perjuangan mereka pun kita tak mampu beri? Mahukah di akhirat kelak, mereka menuntut dari Allah atas kelembapan, kelesuan dan kebisuan kita terhadap isu ini?
Selain itu, aku merasai sendiri manisnya persaudaraan yang disemai atas nama Allah. Hingga kau akan tertanya-tanya, layakkah diri mendapat buah semanis ini sedangkan baja yang kau letak kadang-kadang hanyalah Gred B?
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ (٧١)Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71)
Ukhuwah itu tak ternilai harganya, andai saja kau tahu menghargai.
Perjuangan itu manis rasanya, andai saja kau tahu apa yang menanti.