My photo
Rawang, Malaysia
“Travel helps reset your current path for a bit, reminds you that life is bigger than what you've been seeing everyday, and makes your problems small compared to it."

Friday, April 29, 2011

Tanah Haram (3)

2 April 2011
Hari ini hari berziarah. Kami akan dibawa ke beberapa tempat bersejarah yang biasa dikunjungi jemaah haji dan umrah di Madinah.

Masjid Quba'
Destinasi pertama kami ialah Masjid Quba'. Masjid Quba' merupakan masjid pertama yang didirikan di dalam sejarah Islam dan sebagaimana firman Allah;
"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (At-Taubah: 108)
Salah satu keistimewaan bersolat di dalam masjid ini adalah seperti sabda Nabi saw;
"Barangsiapa mengambil wudu’ dirumahnya, dengan sebaik-baik wudu’, dan pergi ke Masjid Quba’ untuk bersolat, maka pahalanya seperti pahala umrah". (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, An-Nasaie dan Al-Hakim)



Jabal Uhud
Keutamaan Jabal Uhud iaitu Anas RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW memandang Uhud sambil berkata : 
“Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya” (Sahih Muslim). 
Di sinilah terjadinya perang Uhud di mana terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripadanya. Ramai para sahabat Rasulullah saw mati syahid dalam peperangan ini termasuk bapa saudara baginda, Hamzah asSayyid asSyuhada. Terdapat juga makam para syuhada' di sini di mana menziarahinya adalah sunat. 

Di sebelah selatan makam syuhada', terdapat sebuah bukit merah yang dinamakan Jabal Rumat. Di sanalah 50 orang pemanah (rumat) diamanahkan Baginda saw untuk tetap berada di sepanjang peperangan. 

Berlatar belakangkan makam 28 orang para syuhada' perang Uhud.


Jabal Maghnatis
Jabal Maghnatis atau Bukit Magnet merupakan salah satu tarikan yang terbaru. Namun, tiada sejarah atau sirah dikaitkan dengan bukit ini. Tempat ini adalah di mana kereta akan ditarik semula ke Madinah walaupun enjinnya ditutup. Apabila sampai ke kawasan ini, kereta akan bergerak sendiri untuk balik ke Madinah. Kekuatan tarikan ini hingga, kelajuan bas atau kereta akan bergerak hingga melebihi 120 km/ jam. Tetapi tiada demonstrasi daripada pemandu bas kami.


Antara pemandangan di Jabal Maghnatis

Masjid Qiblatain
Dinamakan Masjid Qiblatain (dua kiblat) adalah apabila kiblat masjid ini pada awalnya menghadap Baitul Maqdis di Jerusalem, Palestina, tetapi bertukar arah ke Masjidil Haram setelah turunnya wahyu mengenai pertukaran tersebut.

Sayangnya kami hanya melewatinya dan tidak berhenti untuk berziarah ke masjid ini. Kata Pak Ustad Rafiq, "Pahala solat di sini sama saja dengan masjid biasa yang lain...." Baiklah pak ustad..


Masjid Qiblatain dari dalam bas.

Raudhah
Jemaah lain di dalam rombongan aku sudah pun ke Raudhah malam semalam. Kami terus pulang ke hotel atas sebab-sebab kesihatan wan. Dan oleh kerana malam ini adalah malam terakhir kami di Madinah, kami memutuskan untuk membawa wan sendiri ke Raudhah menaiki wheelcha.

Raudhah merupakan satu tempat di dalam Masjid Nabawi yang dibatasi dengan tiang-tiang putih. Ia dianggap sebagai satu tempat istimewa yang mulia, di mana pernah disifatkan oleh nabi sebagai sebuah kebun di antara kebun-kebun syurga. Yang membezakan Raudhah dengan bahagian masjid yang lain ialah warna karpet yang digunakan. Karpet di dalam Masjid Nabawi berwarna merah, manakala karpet kawasan Raudhah berwarna hijau. Di sini adalah tempat mustajab untuk berdoa.

Usai solat isya', aku dan Idahnor perlahan-lahan menolak wheelcha wan ke depan. Para 'mak guard' mula mengumpulkan jemaah mengikut bahasa ibunda masing-masing. Kami pergi ke kumpulan Bahasa Indonesia, tetapi diarahkan 'mak guard' untuk ke kumpulan wheelcha di hujung sekali. masing-masing menunggu dengan debaran. Kami takkan tahu pintu mana yang akan dibuka untuk ke Raudhah. 

Setengah jam menunggu, tiba-tiba pintu dibuka. Berpusu-pusu manusia masuk ke dalam. Tetapi kami kumpulan wheelcha masih belum diberi arahan untuk masuk. Seketika kemudian, ketika manusia yang berjalan biasa sudah semakin reda di pintu masuk, kami dibenarkan untuk masuk. Ada lebih kurang 30 wheelcha semuanya. Dan keadaan ketika itu seolah-olah kami masuk perlumbaan "lumba wheelcha". Masing-masing menolak dengan laju dan agak berebut. Entah berapa wheelcha melanggar kaki kami. Entah berapa kaki kami langgar dengan wheelcha wan. Kesabaran yang amat tinggi sangat-sangat diperlukan, apatah lagi bila bahasa menjadi halangan untuk berkomunikasi.

Alhamdulillah, oleh kerana kami menolak wheelcha, ada laluan short cut untuk kami. Dan ada ruang khas di Raudhah untuk golongan yang menaiki wheelcha. Setelah lama berbaris, kami menolak wan betul-betul di atas karpet hijau. Tetapi oleh kerana hanya seorang sahaja dibenarkan meneman, aku terus ke arah orang ramai yang berjalan. Idahor menemani wan.

Terlalu banyak yang berlaku dalam masa 10 minit di sana. Dipendekkan cerita, kami bertiga berjaya bersolat sunat di Raudhah. Alhamdulillah, diberi ruang dan dipermudahkan di celah-celah manusia yang bertolak-tolakkan, berebutkan keampunan dan rahmat Allah swt.

Cerita wan kemudiannya, dek kerana terlalu gembira pertama kali dapat solat sunat di Raudhah dalam masa 7 kali pemergiannya ke Tanah Haram ini, sampaikan tak tahu nak solat apa..

"Wan asyik sebut usolli...usolli..usolli fardhan..usolli sunnatan..ya Allah, aku nak solat apa ni...banyak kali wan ulang, ulang..Barulah dapat solat," wan aku bercerita.

Semoga semua doa-doa kami yang baik dan bermanfaat akan diterima dan dimakbulkan oleh Allah swt. Amin.

...
Nota kaki:
Balik daripada Raudhah, Naim dah tunggu kat hotel sebab nak pulangkan beg yang aku isi maggi-maggi dia semalam. Seriously, kitorang lapar gila time tu dan rezeki kami bila Naim belikan aka belanja Nasi Mandy ayam. Dia nak beli kambing sebenarnya, tapi orang kedai tersalah bagi. Tak kisahlah, yang penting nasi mandy lazat gila! :)


Bersambung lagi...

3 comments:

  1. race dalam masjid nabawi antara moment yang seronok..bkan senang tu nak buat ...

    ReplyDelete
  2. idahnor:
    yup!!tau xpe..dan tak lupa jugak auntie turkey yg cari kawan dengan mintak kawan barunya baca AlFatihah dan AlIkhlas 3x...

    ok!aku lupa nak cerita pasal dia dalam entry aku!haha..adeh~

    ReplyDelete
  3. sila cerita syida....mcm menarik jeee....?:D hehehehehe.....

    ReplyDelete

ㅋㅋㅋ

Daisypath Friendship tickers
Daisypath Wedding tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...